Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gencatan senjata di Gaza mesti dijadikan batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin yang berdaulat, sah dan bebas.

Justeru, Perdana Menteri berkata komuniti antarabangsa mesti memastikan gencatan senjata itu dipatuhi bagi membuka jalan perbincangan fasa seterusnya yang akan membawa kepada ketenangan berkekalan dan pembinaan semula Gaza.

“Saya juga akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, untuk mempercepatkan pelaksanaan rancangan pembinaan semula Palestin yang sudah dipersetujui semasa lawatannya baru-baru ini ke Malaysia.

“Kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan di Asia Timur amat penting bagi memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan cepat dan berkesan.

“Walaupun pembinaan semula adalah keutamaan mendesak, adalah penting untuk mengiktiraf bahawa kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan pemindahan lebih dua juta orang tidak boleh dan tidak harus dilupakan. 

“Keadilan dan tanggungjawab terhadap tindakan yang diambil sepanjang konflik ini tetap menjadi perkara yang kritikal,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.

Sementara itu, Anwar berkata, keamanan yang adil dan berkekalan bergantung kepada penyelesaian punca utama konflik ini.

“Justeru pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berkuat kuasa pada hari Ahad ini sangat dialu-alukan.

“Langkah penting ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan bagi rakyat Gaza yang sekian lama menanggung penderitaan amat berat. 

“Saya mengiktiraf usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) dalam menjadi perantara perjanjian ini. 

“Saya juga memuji Presiden terpilih AS, Donald Trump, atas peranannya dalam merealisasikan rundingan ini,” katanya.-BH Online