Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Kementerian Kesihatan komited meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan patuh syariah bagi memberi nilai tambah yang signifikan kepada pesakit, terutama umat Islam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata konsep patuh syariah bukan hanya mencakupi perkhidmatan kesihatan dan kemudahan tetapi juga alat perubatan serta farmaseutikal, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam penjenamaan nilai patuh syariah.

Beliau berkata, sebanyak 35 peratus atau 54 hospital mempunyai sijil Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang diperakui oleh KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2014.

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan patuh syariah menghormati sensitiviti agama pesakit. Contohnya, Hospital Mesra Ibadah telah mula diperkenalkan sejak 1998 oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan mula dikembangkan sejak 2010 kepada hospital KKM seperti Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu, Hospital Shah Alam di Selangor, Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan Institut Kanser Negara di Putrajaya.

“Ini yang kita mahu tingkatkan supaya ia menjadi satu nilai tambah yang baik yang dicari, khususnya oleh Muslim yang ingin mendaftar dan menjadi pelanggan perkhidmatan itu. 

“Patuh syariah ialah semua yang berkaitan kesejahteraan keseluruhan masyarakat. Ia membabitkan perkhidmatan berkualiti yang berpatutan, selamat dan berkesan.

“Nilai tambah khas ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI bawah kepimpinan semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi IKIM Profesor Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Naib Canselor UTP Profesor Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd Dr. Rayney Azmi Ali.

Dr Dzulkefly berkata, pendekatan holistik ini telah mendapat permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelancong kesihatan dan pelancong dari negara majoriti Muslim.

“Kita perhatikan juga, kebelakangan ini, di bawah Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), terdapat peningkatan minat daripada pesakit antarabangsa terutama dari Asia Barat, yang secara khusus mencari perkhidmatan patuh syariah,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, usaha sedang dijalankan untuk memperluas pensijilan ini kepada lebih banyak hospital kerajaan dan swasta bagi menarik pelancong kesihatan, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, penjagaan kesihatan berteraskan syariah bukanlah sesuatu yang baharu dan ia berakar dalam sejarah Islam.

“Saya dimaklumkan yang KMI Healthcare, satu penganjur simposium hari ini, turut menyediakan perkhidmatan hospital mesra ibadah.

“Beberapa hospital juga telah menerima pakai dan melaksanakan MS ISO 1900: 2014 iaitu Standard Malaysia bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah dalam pengurusan hospital, selain memenuhi keperluan pesakit Muslim, usaha ini juga menjadikan Malaysia sebagai model global dalam penjagaan kesihatan berteraskan syariah,” katanya.

Sementara itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) menyatakan komitmen bagi pembangunan nilai-nilai syariah dalam bidang penjagaan kesihatan menerusi simposium itu. 

Simposium berkenaan adalah kesinambungan projek penyelidikan melibatkan IKIM dan UTP bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berhubung ‘Rangka Kerja Standard Perkhidmatan Perubatan Islamik Patuh Syariah untuk Penyedia Perkhidmatan Kesihatan di Malaysia,’.-BH Online