SEPANG: Penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, di sini, daripada Bahagian Perancangan Perumahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Jabatan Perumahan Negara berjaya menamatkan penantian pemilik kediaman selama hampir 10 tahun.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata semua 404 pemilik kediaman kos rendah itu adalah pekerja dari empat ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang selama ini tinggal di perumahan sementara di Taman Permata, Dengkil.
“Hari ini kita menyerahkan projek PPR Ampar Tenang yang dahulunya kawasan ini didiami peladang daripada estet milik Sime Darby Berhad.
“Atas kerjasama dan kesungguhan kerajaan Malaysia MADANI, maka penantian 10 tahun ini berakhir di sini,” katanya selepas melawat unit rumah contoh di PPR berkenaan, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaksanaan dan Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ezzanuddin Lood Mustafa dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Perumahan KPKT, Murali Jayabalan.
Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, proses penyerahan kunci kepada pemilik akan selesai tahun ini bagi membolehkan mereka memasuki kediaman masing-masing.
“Penyerahan kunci akan berjalan terus selepas Jabatan Perumahan Negara ambil alih, nanti kita akan maklumkan. Jika boleh selesai pada tahun ini juga insya-Allah,” katanya.
Aiman Athirah berkata, unit kediaman teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi itu mula dibina pada 1 Ogos 2017 dan menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember 2024.
Katanya, projek yang turut menyediakan empat unit rumah kepada golongan orang kurang upaya (OKU) itu, menggunakan peruntukan Tabung Kumpulan Amanah PPR sebanyak RM88 juta, selain dilengkapi kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang.
“Dasar kita, setiap perumahan mesti ada satu peratus (kuota) OKU. Pembeli hanya perlu bayar RM20,000 saja sebab subsidi RM50,000,” katanya.
Projek PPR Ampar Tenang adalah kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Berhad seluas 12.14 hektar bernilai RM15 juta. – BERNAMA