Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka dunia, Profesor Jeffrey D Sachs dari Universiti Columbia, hari ini.

Antara perkara dibincangkan pada pertemuan itu ialah berkaitan pembangunan mampan, tenaga hijau dan peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Selain itu, Anwar dan Sachs turut membincangkan dasar luar yang lebih bebas untuk menarik minat pelabur ke Malaysia.

“Moga pertemuan ini membawa pelbagai manfaat kepada negara, insya-Allah,” kata Perdana Menteri dalam hantaran melalui media sosial X.

Pertemuan itu diadakan sebelum beliau berlepas ke luar negara (Emiriah Arab Bersatu) untuk tugasan rasmi.

Sachs adalah profesor ekonomi terkemuka dunia, penulis buku terlaris, pendidik inovatif dan pemimpin global dalam pembangunan mampan.

Beliau diiktiraf secara meluas kerana strateginya yang berani dan berkesan dalam menangani cabaran kompleks, termasuk mengatasi kemiskinan tegar, perjuangan global melawan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, krisis hutang dan kewangan antarabangsa, pembaharuan ekonomi negara, serta kawalan penyakit pandemik dan epidemik.

Selain itu, beliau adalah Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pengerusi Bersama Majlis Jurutera bagi Peralihan Tenaga, ahli akademik Akademi Sains Sosial Pontifikal di Vatican, Pesuruhjaya Suruhanjaya Jalur Lebar PBB bagi Pembangunan, Profesor Kehormat Tan Sri Jeffrey Cheah di Universiti Sunway, dan Penyokong SDG untuk Setiausaha Agung PBB, António Guterres.-BH Online