BUKIT MERTAJAM: Seramai 2,000 pelajar daripada keluarga B40 serta anak yatim menerima kelengkapan sekolah sempena Program Muhibbah MADANI 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Selain itu, 6,500 keluarga bawah Parlimen Permatang Pauh turut menerima bantuan barangan dapur dan keperluan asas harian bernilai RM100.
Bantuan itu adalah sumbangan Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia.
Bercakap pada majlis berkenaan di pekarangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anwar berkata, inisiatif yayasan terbabit wajar dipuji kerana menganjurkan program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Terima kasih kepada Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra kerana mengambil inisiatif serta bekerjasama dengan Bank Rakyat dan MBSP, termasuk kerajaan negeri, untuk menyelaras serta memudahkan.
“Program ini bukan saja menyantuni rakyat, malah membabitkan banyak inisiatif daripada badan sukarela. Sebab itu saya pilih untuk hadir memberi dukungan kepada usaha yang baik ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon, berkata program bantuan berlangsung di Parlimen Permatang Pauh terbabit adalah sumbangan berskala besar yang diadakan pihaknya.
“Kami amat terharu dan berterima kasih atas sokongan diberikan oleh pimpinan peringkat nasional serta negeri untuk menjayakan program kali ini.
“Ia membuktikan pemimpin ini memiliki matlamat sama, iaitu membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya.
Beliau berkata, Yayasan Muhibah Malaysia ditubuhkan pada tahun lalu hasil inisiatif Ko-Khawan yang mempunyai 300 ahli, dengan misi utama untuk membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar daripada golongan B40.
“Kami tidak hanya memberikan bantuan material tetapi juga kasih sayang dan harapan.
“Masyarakat Malaysia perlu tahu bahawa golongan kurang bernasib baik tidak harus dilupakan dan perlu dibantu.
“Semoga lebih ramai usahawan berjaya akan menyertai Ko-Khawan dan terbabit dalam pelbagai inisiatif yang diperkenalkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40, terutama melalui kecemerlangan akademik,” katanya.-BH Online