KUALA SELANGOR: Negara mampu menjimatkan kira-kira RM300 juta jika projek penanaman bawang di dalam negara berjaya direalisasikan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, setakat ini, projek tanaman bawang rose yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menunjukkan prestasi yang baik dengan kemampuan tuaian hasil kira-kira empat tan per ekar.
Mohamad berkata, pihaknya akan mula mengedarkan benih bawang rose berkenaan sama ada pada hujung tahun ini atau tahun hadapan untuk diusahakan oleh mereka yang berminat, bagi mencapai sasaran berkenaan.
“Malaysia mengimport sebanyak 484,867 tan metrik bawang pada nilai RM902.5 juta pada 2021 bagi memenuhi permintaan pengguna.
“India menjadi pembekal bawang terbesar di Malaysia sebanyak 57 peratus, diikuti China (20 peratus) dan Pakistan (11 peratus).
null
“Jadi, kalau kita mampu sediakan 30 peratus, iaitu bawang kecil (bawang rose) ini, maka kita akan jimat RM300 juta untuk kita import tanaman ini ke dalam negara,” katanya selepas melawat tapak Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley di sini hari ini.
Beliau berkata, selain PKPS, negeri lain yang menunjukkan perkembangan baik bagi penanaman bawang ialah Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kita juga dalam usaha melihat beberapa negeri lain yang sesuai (untuk penanaman bawang), cuma kini agensi kajian kita sedang melihat bagaimana untuk kita tanam bawang besar pula,” katanya.-BH Online