KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti keperluan meminda undang-undang bagi memasukkan syarikat telekomunikasi sebagai antara pihak yang bertanggungjawab menangani penipuan kewangan secara dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif berkenaan masih di peringkat awal dengan perkara itu sedang diselaraskan Bank Negara Malaysia (BNM).
“BNM sedang koordinasi (dan) syarikat telekomunikasi sudah dimaklumkan.
“Cadangan untuk pinda kuasa digital bagi mengawal (platform) media sosial kerana melalui platform ini ada ‘financial scam’ (penipuan kewangan) dan lain-lain. Jadi ini sedang diperhatikan.
“Namun, (terdapat) kebimbangan, kita ada reaksi nampak macam undang-undang (yang bakal dipinda) ini terlalu ketat, tetapi kita sedang teliti perkara ini,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri Empat: Menggunakan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan bagi Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.
Terdahulu, BH melaporkan, nilai kerugian membabitkan jenayah komersial di seluruh negara mencecah RM3.11 bilion, membabitkan 41,701 kertas siasatan yang dibuka, sepanjang tahun lalu.
Kes penipuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 37,240 dengan nilai kerugian melebihi RM2.45 bilion, pecah amanah (1,448 kes), kes along (1,060 kes), wang palsu (950 kes), jenayah siber (720 kes), pemalsuan (128 kes), salah guna harta (62 kes), VCD/DVD (2 kes), lain-lain (91 kes).
Daripada 37,240 kes penipuan, sebanyak 35,368 kes atau 84.8 peratus adalah kes penipuan dalam talian yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan jumlah kerugian dicatat membabitkan pelbagai modus operandi penipuan dalam talian, melebihi RM1.57 bilion.
Modus operandi penipuan telekomunikasi pula mencatat kes tertinggi sebanyak 14,684 kes dengan nilai kerugian melebihi RM497.12 juta, manakala penipuan platform e-dagang mencatat 7,662 kes, pelaburan tidak wujud (6,337 kes), pinjaman tidak wujud (4,103 kes), jenayah e-kewangan (1,812 kes) dan love scam (770).
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata BNM sedang memperkemas peraturan sedia ada bagi memastikan tanggungjawab institusi kewangan adalah jelas.
Beliau bagaimanapun berkata, usaha menangani jenayah penipuan kewangan bukan hanya terletak pada institusi kewangan, memandangkan semua transaksi dibuat menggunakan talian telefon pengguna.
“Justeru, syarikat telekomunikasi juga perlu bertanggungjawab. Di Singapura misalnya, pihak kawal selia dan pihak berkuasa turut memasukkan syarikat telekomunikasi sebagai antara pihak bertanggungjawab.
“Ini kerana, kita akan tahu pemilik talian berdaftar, jika membuat semakan di syarikat telekomunikasi. Jika terdapat sebarang keraguan, kita juga boleh dapatkan maklumat mengenai pemilik talian secara terus daripada syarikat telekomunikasi.
“Namun, keadaan ini belum berlaku di Malaysia dan saya sekali lagi minta supaya BNM turut membabitkan syarikat telekomunikasi sebagai sebahagian daripada usaha membanteras jenayah scam ini,” katanya.-BH Inline