Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kehadiran tahun baharu 2025 dapat membuka lembaran kemajuan yang lebih gemilang, selain memberi nikmat dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.

Berucap sempena Sambutan Tahun Baharu 2025, Timbalan Perdana Menteri juga mengimpikan pelbagai kejayaan yang membawa perubahan positif sepanjang tempoh 2024, akan membuahkan hasil pada tahun berikutnya.

“Saya amat berbangga dan bersyukur dengan kejayaan yang kita capai sepanjang tempoh 2024, sudah banyak membawa perubahan positif, terutama dalam mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya kepada pembangunan negara bangsa Malaysia.

“Semoga 2025 membawa lebih banyak kejayaan, kemakmuran dan kebahagiaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi, selamat Tahun Baharu 2025,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sentiasa komited untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar serta luar bandar, memandangkan semua rakyat berhak menikmati kemudahan dan peluang yang sama.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memberi jaminan untuk memastikan keselamatan seluruh rakyat di negara ini yang terjejas dengan kejadian banjir atau bencana lain.

“Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain sentiasa komited untuk memastikan risiko kehilangan nyawa dan harta benda dapat dikurangkan.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun ini,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Mengimbau kejayaan dilakar pada 2024, Timbalan Perdana Menteri berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan ekosistem halal adalah antara sorotan terbaik yang boleh dibanggakan. 

“TVET dan pembangunan ekosistem halal dibangunkan untuk menjadikannya lebih komprehensif.

“Bagi perdesaan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berjaya menjadikan pembangunan infrastruktur lebih mampan.

“Selain itu, penambahbaikan kemudahan asas serta penyediaan peluang ekonomi lebih luas melalui inisiatif dan usaha bersama komuniti setempat,” katanya.-BH Online