NEW DELHI, 27 Disember-Bekas Perdana Menteri India Manmohan Singh meninggal dunia pada usia 92 tahun.
Manmohan merupakan Perdana Menteri India pertama berbangsa Sikh memimpin negara itu dari 2004 sehingga 2014.
Mendiang diiktiraf kerana memacu India ke arah pertumbuhan ekonomi yang luar biasa dan membawa ratusan juta orang keluar daripada kemiskinan yang teruk.
“India meratapi kehilangan salah seorang pemimpin yang paling dihormati,” kata Perdana Menteri Narendra Modi.
Dilahirkan dalam keluarga miskin di bahagian India yang kini terletak di Pakistan, Manmohan Singh berjaya melanjutkan diri ke Universiti Cambridge sebelum melanjutkan pelajaran ke Oxford dan memperoleh ijazah kedoktoran dengan tesis mengenai peranan eksport dan perdagangan bebas dalam ekonomi India.
Mendiang kemudiannya menjadi ahli ekonomi yang dihormati, kemudian Gabenor bank pusat India serta penasihat kerajaan, tetapi tidak mempunyai rancangan jelas untuk kerjaya politik apabila tiba-tiba dilantik sebagai menteri kewangan pada tahun 1991.
Semasa tempoh tersebut hingga 1996, Singh adalah arkitek reformasi yang menyelamatkan ekonomi India daripada krisis imbangan pembayaran yang teruk dan mempromosikan deregulasi (pengurangan), serta langkah-langkah lain yang membuka negara yang tertutup kepada dunia.
Mengutip Victor Hugo dalam ucapan bajet pertamanya, mendiang berkata “Tiada kuasa di dunia yang boleh menghentikan idea yang masanya telah tiba,” sebelum menambah Kemunculan India sebagai kuasa ekonomi utama di dunia adalah salah satu idea tersebut.
Pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada tahun 2004 lebih tidak dijangka.
Beliau diminta untuk mengambil alih jawatan oleh Sonia Gandhi, yang telah mengetuai Parti Kongres berhaluan kiri kepada kemenangan mengejut.
Sonia yang dilahirkan di Itali bimbang isu berhubung keturunannya akan digunakan oleh pihak lawan nasionalis Hindu untuk menyerang kerajaan jika beliau memimpin negara.
Mengharungi tempoh pertumbuhan ekonomi yang luar biasa, kerajaan Singh berkongsi hasil kekayaan baharu India seperti memperkenalkan skim kebajikan seperti program pekerjaan untuk golongan miskin luar bandar.
Pada tahun 2008, kerajaan pimpinan Manmohan juga mencapai perjanjian bersejarah yang membenarkan perdagangan tenaga nuklear secara aman dengan Amerika Syarikat buat kali pertama dalam tiga dekad, membuka jalan untuk hubungan kukuh antara New Delhi dan Washington.
Namun, usahanya untuk membuka lebih banyak ekonomi India sering digagalkan oleh perebutan politik dalam partinya sendiri dan tuntutan daripada rakan kongsi gabungan.
Meskipun beliau sangat dihormati oleh pemimpin dunia, di dalam negaranya beliau sentiasa berdepan persepsi bahawa Sonia Gandhi merupakan pemerintah kuasa sebenar dalam kerajaan.
Dikenali kerana gaya hidup sederhana dan reputasi jujur, Manmohan secara peribadi tidak dilihat sebagai korup. Tetapi beliau dikritik kerana gagal mengambil tindakan terhadap ahli kerajaan semasa siri skandal meletus dalam penggal keduanya sebagai Perdana Menteri telah mencetuskan protes besar-besaran.
Pada tahun-tahun akhir pentadbirannya menyaksikan pertumbuhan ekonomi India yang dibinannya mulai goyah apabila ketidakstabilan ekonomi global dan kelewatan keputusan kerajaan membantutkan sentimen pelaburan.
Pada tahun 2012, kerajaannya kehilangan majoriti apabila sekutu terbesar Parti Kongres keluar daripada gabungan mereka sebagai bantahan terhadap kemasukan pasar raya asing.
Dua tahun kemudian, Parti Kongres tewas kepada Parti Bharatiya Janata di bawah Narendra Modi, seorang pemimpin tegas yang berjanji untuk menamatkan kebuntuan ekonomi, membersihkan rasuah dan membawa pertumbuhan inklusif ke kawasan pedalaman.
Dalam sidang akhbar tidak lama sebelum beliau meninggalkan jawatan, Manmohan menegaskan bahawa beliau telah melakukan yang terbaik.
“Saya benar-benar percaya bahawa sejarah akan lebih berbelas kepada saya daripada media kontemporari atau, untuk hal itu, parti pembangkang di parlimen,” katanya.
Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak perempuan.-REUTERS