KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang usaha menanam bibit perpecahan antara kaum mesti dielakkan bagi membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.
Perdana Menteri berkata, gejala sedemikian mesti dikekang mengambil kira penduduk berbilang bangsa di negara ini hidup saling memerlukan serta melengkapi.
“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping.
“Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan,” katanya dalam satu hantaran sempena sambutan Krismas, hari ini.
Tegasnya, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok, malah nilai dan prinsip keadilan sejagat mesti diperkukuh.
Ia selari dengan hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan, sekali gus menjulang masa depan dan maruah bangsa.
Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada mereka yang menyambut perayaan itu.
“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia, dan Malaysia tidak terkecuali.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” katanya.
Beliau turut berkata, sebagai negara yang beragam dengan rencam ras serta budaya, perayaan besar seperti ini menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.-BH Online