Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA, 24 Disember- Pembentangan Belanjawan 2025 negeri Melaka pada 27, 30 dan 31 Disember ini memfokuskan kepada kesejahteraan dan pembangunan rakyat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selain itu sektor pelancongan juga akan diberi perhatian susulan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC2025).

“Pastinya bajet ini bersifat menyejahterakan rakyat dalam perancangan kerajaan negeri untuk tahun depan.

“Tahun depan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC2025) dan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD2025) akan dilancarkan di Melaka. Jadi kita akan bawa dunia untuk datang ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas segmen Dak Rauf Masuk Konti di Jalan Taming Sari di sini.

Pada masa sama beliau juga berharap agar pembentangan Belanjawan 2025 negeri Melaka akan memberi kegembiraan kepada rakyat negeri itu.

Dalam pada itu Ab Rauf mahu permainan Konda kondi diangkat sebagai produk seni warisan negeri Melaka.

Beliau memaklumkan menerusi kajian Politeknik Merlimau alat permainan konda kondi akan dibangunkan mengguna pakai teknologi baharu.

“Kajian ini akan kita lihat semula pada Februari tahun depan dan saya dah tengok konda kondi ini rekaannya sangat menarik. Saya yakin kalau kena dengan promosi ia boleh menjadi satu permainan diperkenalkan di peringkat global.

“Saya berhasrat untuk memberikan konda kondi sebagai cenderamata pada Hari Pelancongan Sedunia (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC 2025). Berkenaan cara permainannya akan dimasukkan dalam pemacu pena (thumb drive) atau menerusi kod QR,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, permainan konda kondi akan dijadikan sebagai permainan berskala besar pada tahun depan.  

Ia selepas kejayaan Kerajaan Negeri Melaka menerusi Tourism Melaka menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records kerana menganjurkan Pertandingan Dam Aji Terbesar dengan penyertaan seramai 780 peserta.-Berita RTM