Kota Bharu: Kerja membaiki dan menahan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama, di sini, yang mengalami runtuhan pada 16 Disember lalu dimulakan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim berkata, beliau menghubungi Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria memaklumkan kebimbangan orang ramai terutama penghuni kondominium Pelangi Mall berhubung insiden itu.
“Lokasi kejadian amat hampir dengan bangunan Pelangi Mall sehingga menggusarkan penduduk dan mereka tertanya-tanya apa langkah seterusnya.
“Saya sudah bercakap dengan Pengarah JPS dan sahkan pelaksanaan kerja darurat untuk memperbaiki atau menahan tebing runtuhan menjadi lebih teruk akan dilaksanakan hari ini.
“Diharapkan kerja darurat itu akan siap secepat mungkin bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai terutama 1,600 penghuni di kondominium Pelangi Mall yang bimbang sejak hari pertama kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan yang menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter
Susulan kerja darurat itu, notis pengosongan premis perniagaan akan diserahkan kepada kira-kira 40 peniaga berhampiran lokasi itu bagi tujuan keselamatan.
Kebimbangan aspek keselamatan disuarakan menerusi penyerahan petisyen memohon tindakan segera daripada Persatuan Penduduk Pelangi Mall kepada pihak berkaitan, hari ini.
Pengerusinya, Foo Chek Yee berkata, pelaksanaan kerja pembaikan bermula hari ini melegakannya serta penghuni kondominium.
“Kondominium ini sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu dan ini kali pertama kejadian runtuhan tebing berlaku, sedikit sebanyak sangat merisaukan kami sehingga ada berpindah ke rumah waris.
“Tapi bila mendapat berita bahawa JPS akan melakukan kerja darurat memperbaiki serta menahan tebing sungai, sedikit melegakan kami,” katanya.-MyMetro Online