KUALA LUMPUR: Rating penerimaan terhadap pentadbiran tahun kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik empat peratus kepada 54 peratus, berbanding 50 peratus direkod bagi tempoh sama tahun lalu.
Hasil tinjauan Merdeka Center itu, rating penerimaan terhadap Kerajaan Perpaduan juga meningkat lima peratus untuk berada pada 51 peratus, berbanding 46 peratus November tahun lalu.
“Pengundi secara amnya berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri dalam beberapa aspek (iaitu menarik pelaburan, meningkatkan imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam), namun
memberikan penilaian bercampur-campur apabila ditanya mengenai usaha memperkukuh ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, firma tinjauan itu mendapati rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan pada masa ini berada pada tahap 47 peratus.
“Petunjuk ini sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan beberapa kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang dijadualkan akan berlaku akan datang,” katanya.
Katanya, seperti sebelum ini, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada isu ekonomi, di mana 65 peratus menyatakan ia sebagai masalah nombor satu dihadapi rakyat ketika ini.
Bagaimanapun, biarpun tinggi peratusan itu menurun berbanding 74 peratus dicatat tahun lalu.
“Sebanyak 53 peratus berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah (berbanding 54 peratus setahun lalu), sementara bilangan pengundi yang berpendapat negara menuju ke arah yang betul meningkat sedikit pada 39 peratus berbanding 36 peratus pada November 2023.
“Sebab utama arah yang salah ialah isu ekonomi (47 peratus), ketidakstabilan politik (tujuh peratus) dan pentadbiran yang lemah, lapan peratus,” katanya.
Tinjauan oleh Merdeka Center dijalankan antara 27 November hingga 10 Oktober lalu, bertujuan mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.
Seramai 1,207 pengundi berdaftar terdiri daripada 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus), masing-masing enam peratus Bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak, yang mencerminkan profil pilihan raya negara, di temubual melalui talian tetap dan telefon mudah alih.
Responden dipilih berdasarkan persampelan rawak berstrata mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.
Undian itu dibiayai menerusi sumber kewangan dalaman Merdeka Centre.-BH Online