KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan tahniah kepada pesilat negara, V Thamaraj, yang menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 dalam kategori Bebas Putera di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Katanya, Thamaraj mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek, untuk membawa pulang pingat emas dan muncul juara dunia.
Pada masa sama, beliau turut berbangga dengan pencapaian skuad silat negara pada kejohanan dunia itu apabila pesilat senior membawa pulang enam emas, sembilan perak dan empat gangsa, manakala pesilat remaja meraih lima emas serta masing-masing empat perak dan gangsa.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikasi dan pencapaian hebat ini.
“Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook, hari ini.
Melalui hantaran sama, Ahmad Zahid juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang bersama memberi sokongan moral dan semangat kepada wakil negara.
Megat Zulkarnain melalui hantaran dalam Facebook turut memaklumkan bahawa Thamaraj mencipta sejarah sebagai pesilat berbangsa India negara yang pertama muncul antara juara dunia pada kejohanan itu. – BERNAMA