Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG: Masyarakat majmuk di negara ini diminta terus memperkukuh perpaduan, biarpun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kepelbagaian agama dan kaum.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menasihati orang ramai supaya mengelak daripada terpengaruh dengan perilaku yang cenderung melihat perbezaan berbanding unsur penyatuan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP mengajak orang ramai menjadikan sambutan Hari Krismas sebagai wadah memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, perbezaan latar belakang, termasuk agama dan kaum wajar menjadi platform mengukuhkan perpaduan, bukannya alasan mewujudkan apa-apa ketegangan tidak diingini.

“Di Malaysia, kita adalah keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada agama, kaum dan budaya.

“Tidak kira kita datang dari kawasan bebeza mahupun pelbagai latar belakang, paling utama adalah untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian di negara ini. Kita wajar menerapkan perpaduan sebagai elemen sangat penting untuk dikekalkan.

“Atas alasan inilah semua pihak bersama-sama meraikan apa-apa perayaan besar yang disambut di negara ini, termasuk Krismas. Kita perlu bersama raikan kepelbagaian ini,” katanya.

Loke yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Minum Petang anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung serta Pengerusi CFM, Philip Thomas.

Sementara itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut mengajak orang ramai tidak mengendahkan sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengancam perpaduan dan keharmonian di negara ini.

“Kita tahu semakin banyak cabaran dihadapi negara dan dunia ketika ini, termasuk ekonomi, politik dan agama. Malah, ada kumpulan serta individu tidak bertanggungjawab yang akan terus menghasut untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“Mereka tak mahu melihat rakyat bersatu, namun tindakan sedemikian perlu dipatahkan secara menyeluruh. Kita tidak boleh benarkan mana-mana pihak memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian negara.

“Justeru, sangat penting untuk kita sentiasa menjunjung serta menghargai keamanan dan keharmonian di negara ini,selain perlu terus berusaha untuk bersatu padu.

“Walaupun memiliki kekurangan dan kelemahan tetapi ia bukan alasan untuk kita berhenti menaruh harapan mengenai perpaduan dan keharmonian di negara ini,” katanya.-BH Online