Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ipoh: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan langsung tidak campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak berjumpa dengan hakim berhubung keputusan mahkamah terhadap Rosmah yang bebas daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tegas beliau, Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya kini tidak sama dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Adalah tidak munasabah untuk menjangkakan pentadbiran saya seperti pentadbiran dulu di mana Perdana Menteri boleh panggil hakim dan bagi arahan

“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah,” katanya selepas melancarkan buku biografi Lim Kit Siang: Malaysian First di sebuah restoran di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan pengarang buku, Kee Thuan Chey.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan susulan.

“Pelbagai tafsiran ada, yang saya tahu ini keputusan mahkamah dan terserah kepada Peguam Negara untuk ambil tindakan berikutnya.

“Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara.

“Namun, saya tidak fikir hal-hal perkara ini harus jadi kontroversi. DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) kepada pembangkang ramai dan keputusan ini sudah diambil dan kita akan baca dan teliti keputusan hakim,” katanya.

Hakim K Muniandy dalam keputusannya semalam memutuskan pertuduhan terhadap Rosmah, 73, adalah tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.-MyMetro Online