Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ipoh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat mengubah perspektif bahawa tanggungjawab membangun dan mengimarahkan institusi kerohanian seperti masjid dan pusat pengajian agama tidak hanya tergalas di bahu kerajaan sahaja.

Sebaliknya beliau berkata martabat umat Islam boleh diangkat apabila tanggungjawab membangun dan mengimarahkan institusi agama dimainkan semua pihak, termasuk menerusi sumbangan ke tabung masjid pada setiap hari Jumaat sewaktu sesi solat Jumaat berlangsung.

“Seperti hari Jumaat hari ini kita ke masjid, bina masjid itu pun menjadi tanggungjawab semua. Sesetengah orang dia salah faham dengan dia ingat semua ini dari segi peruntukan (kerajaan).


“Namun, mesti ada paling kurang seringgit (RM1), mesti ada saham dia untuk membina kepada masjid. Maknanya, mengimarahkan atau membangun masjid itu tanggungjawab semua.

“Jadi mesti ada saham RM1, atau RM10, atau RM100 mengikut kemampuan masing-masing. Untuk apa? Bukan untuk tempat porak-peranda, maki hamun, fitnah orang atas nama Melayu atau Islam,” katanya ketika berucap pada majlis Kenduri Rakyat dan Ziarah Mahabbah di Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin Tanah Hitam di Chemor, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin bagi menyempurnakan pembangunannya.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Penaung Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Kata Anwar, beliau memberi perhatian khas kepada pusat pengajian Islam itu atas usaha dan ikhtiar pengurusannya membangun dan mengimarahkan institusi pengajian agama berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan perlu berjimat dan berhemah dalam berbelanja bagi menampung kos urus negara yang semakin meningkat termasuk bagi menampung tambahan kos RM10 bilion sepanjang tahun 2025 bagi kenaikan gaji penjawat awam. 

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan wang kerajaan diurus dengan cekap tanpa membabitkan perbelanjaan tidak perlu yang boleh menyumbang kepada ketirisan dan rasuah.

“Untuk tahun depan, gaji (penjawat awam) naik seluruh negara membabitkan tambahan RM10 bilion untuk tahun 2025 sahaja. Hendak cari di mana? Maka sebab itu kita kena jaga dan cermat.

“Wang ini wang rakyat. Jangan bagi orang curi duit, jangan ada amalan ambil komisen, ambil rasuah, beli harta di London, beli harta di Vancouver, beli harta di New York. Kemudian bila balik, dia bercakap soal perjuangan…. 

“Dia kena belajar daripada dalam hati, betulkan. Kalau begini dibetulkan, insya-Allah rezeki itu tuhan akan curahkan… Yang itu saya yakin. Susah memang susah, Kerja kena kuat, sungguh-sungguh,” katanya.-BH Online