KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa tindakan pantas dan tegas untuk mengurangkan penderitaan yang tidak terperi di Gaza, berikutan perang genosid Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
Bercakap pada Sesi ke-21 Mesyuarat Majlis Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) sempena Sesi ke-48 Suruhanjaya D-8 di Kaherah, Mesir, hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan kebimbangan terhadap krisis yang semakin meruncing di Timur Tengah yang disebabkan serangan Israel.
“Kami amat bimbang terhadap penderitaan tidak terperi yang sedang berlaku di Gaza. Situasi ini merupakan noda kepada hati nurani kolektif kita. Kita menyaksikan proses penghapusan nilai-nilai kemanusiaan terhadap seluruh rakyat, khususnya di Palestin.
“Situasi tidak menentu di Palestin, Lubnan, dan kini di Syria mesti ditangani dengan segera kerana ketibaan musim sejuk akan memburukkan lagi keadaan buruk rakyat yang dilanda perang,” katanya.
Zambry mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Ke-11 D-8 untuk Kerjasama Ekonomi dan mesyuarat berkaitan.
Krisis Timur Tengah menjadi tumpuan utama semasa sesi Majlis Menteri Luar D-8, membabitkan menteri luar dan wakil peringkat menteri turut mengambil bahagian.
“Sebahagian besar perbincangan berkisar pada krisis kemanusiaan di Gaza, Lubnan dan Syria.
“Para menteri dengan tegas mengecam pencerobohan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan menyeru tindakan segera untuk menangani keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di kawasan terjejas,” menurut kenyataan D-8 di platform X.
“Sesi itu juga membincangkan dokumen penting, termasuk Deklarasi Kaherah dan Kenyataan Bersama mengenai Situasi di Gaza dan Lubnan, yang kedua-duanya akan dibentangkan kepada Pemimpin pada Sidang Kemuncak untuk diterima pakai,” katanya.
Zambry dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 esok serta berucap dalam Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
Ditubuhkan di Istanbul, Turkiye, pada 15 Jun 1997, D-8 merupakan sebuah kumpulan negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.
Sementara itu, Zambry berkata Malaysia mengalu-alukan Azerbaijan sebagai ahli terbaru D-8, yang akan memperkayakan kerjasama ekonomi dan perdagangan.
“Malaysia menyokong dokumen hasil Sidang Kemuncak ke-11 D-8, Deklarasi Kaherah, yang bertemakan Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy, ” katanya.
Beliau menambah bahawa deklarasi itu merupakan bukti komitmen teguh untuk memperkasakan belia sebagai pemimpin masa depan dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Belia kita adalah arkitek masa depan. Dengan kreativiti, tenaga dan potensi tanpa had, mereka memegang kunci untuk menyelesaikan cabaran paling mendesak,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Zambry berkata beliau telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama dengan Menteri Luar Iran; Setiausaha Agung Kumpulan Negara D-8; Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh; Menteri Luar Pakistan dan Menteri Luar Mesir.
“Semuanya menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang,” katanya.
Pada Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga, Mesir turut menganjurkan Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
Zambry juga menegaskan sokongan Malaysia terhadap penerimaan bersama untuk menyelesaikan situasi genting di Palestin, Lubnan dan negara jiran yang terkait.
Beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8, serta Kenyataan Negara dalam Sidang Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.– BERNAMA