Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kemudahan Visa Kemasukan Berulang (MEV) bagi tujuan lawatan sosial jangka pendek kepada semua warganegara yang memerlukan visa ke Malaysia ditamatkan berkuat kuasa 1 September lalu. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bertujuan menutup ruang dan jalan bagi warga asing menyalahgunakan kemudahan kemasukan berulang kali untuk bekerja, menjalankan perniagaan haram, atau tinggal melebihi tempoh.

“Langkah ini secara langsung mengurangkan lambakan pekerja asing tidak sah dan memelihara peluang pekerjaan serta perniagaan tempatan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen, hari ini.

Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

“Oleh itu, KDN melalui Jabatan Imigresen (JIM) melaksanakan operasi penguatkuasaan di lapangan secara berterusan di kawasan tumpuan warga asing. 

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September lalu, Jabatan Imigresen sudah melaksanakan sebanyak 10,419 operasi penguatkuasaan dengan seramai 37,503 orang pendatang tanpa izin berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan. 

“Perancangan ke hadapan untuk menangani isu-isu ini, KDN melaksanakan strategi kawalan imigresen secara menyeluruh yang merangkumi tiga peringkat utama, iaitu sebelum kemasukan, semasa kemasukan, dan selepas kemasukan ke Malaysia,” katanya.

Tambahnya, bermula Disember tahun ini, KDN akan memperluas pelaksanaan pelepasan keluar menggunakan ‘autogate’ secara berperingkat bagi semua warga asing yang meninggalkan Malaysia.

Katanya, setiap transaksi pelepasan keluar direkodkan dan disahkan secara elektronik melalui pengesahan biometrik tanpa perlu melalui kaunter manual. 

“Pelaksanaan ini membasmi dan mengurangkan risiko ketirisan serta kelemahan kawalan imigresen, khususnya amalan rasuah dan salah guna kuasa seperti isu pengaturan kaunter, pasport terbang serta manipulasi rekod pergerakan pengembara. 

“Di samping itu, ia mempercepatkan proses pelepasan di pintu keluar, mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual, serta meningkatkan integriti dan ketelusan kawalan keselamatan sempadan negara,” katanya. -BH Online