Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengagihkan RM26.5 juta kepada enam kategori sekolah membabitkan 825 buah pada tahun ini di bawah Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor.

Sekolah berkenaan adalah Sekolah Agama Rakyat (SRA), Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program ini adalah inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang bagi membaikpulih infrastruktur sekolah dalam penyediaan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada guru dan pelajar.

“Semua sekolah yang menerima agihan bantuan selepas melalui semua proses termasuk permohonan, saringan…saya dibantu oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri untuk melihat senarai berkenaan, kemudian agihan dibuat.

“Paling tinggi agihan RM50,000, (jumlah ini) terlalu kecil untuk pembinaan sekolah baharu, bantuan ini kebanyakannya lebih kepada naik taraf kemudahan kantin, naik taraf kemudahan pembelajaran dan sebagainya.

“Cuma tahun ini, untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kita ada buat untuk program kelas tambahan yang diaturkan bersama-sama.

“Jadi, tahun depan kita hendak lihat isinya bukan hanya untuk pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan pendidikan pembelajaran anak anak yang perlu kelas tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7.

Bagaimanapun, beliau mengakui berlaku sedikit kelewatan agihan pada tahun ini berikutan terdapat beberapa perubahan komponen berkaitan bantuan itu.

“Ada sedikit kelewatan (agihan tahun ini) kerana tempoh hari kita cuba mengubah beberapa komponen, kita berjaya selesaikannya.

“Jadi, tahun depan kita boleh percepatan agihan bantuan ini ke bulan Jun atau Julai.

“Mulai 15 Januari depan, kita buka untuk permohonan, Jun atau Julai selesai untuk agihan kepada pihak sekolah..cuma kita akan agihkan di peringkat daerah, tidak buat seperti ini,” katanya .

Mengulas lanjut katanya, 825 buah sekolah yang diluluskan membuat permohonan secara sepenuhnya dalam talian melalui laman sesawanghttps://www.selangorpenyayang.com/ bagi memudahkan urusan permohonan. 

Katanya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan seperti bantuan infrastruktur sekolah, biasiswa, dan program sokongan untuk memastikan setiap anak negeri memiliki peluang untuk menimba ilmu, tanpa mengira latar belakang mereka untuk memupuk generasi berilmu. 

“Kerajaan Negeri terus komited untuk mengangkat martabat pelajar dan guru dengan beriltizam supaya fasiliti dan keperluan sekolah-sekolah di negeri Selangor.

“Kerajaan negeri percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengangkat martabat masyarakat.

“Justeru, inisiatif seperti ini adalah langkah yang selari dengan visi kita untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang maju, inklusif, dan makmur,” katanya.-BH Online