KUALA LUMPUR, 19 Disember– Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan peningkatan sebanyak 21.1 peratus dalam kes amang seksual fizikal melibatkan kanak-kanak, dengan 1,389 kes dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 1,147 kes pada tahun 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menyatakan bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak melalui media sosial turut meningkat kepada 525 kes pada tahun 2023, berbanding 360 kes pada tahun sebelumnya.
Pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan risiko salah laku seksual terhadap kanak-kanak, termasuk faktor individu, keluarga, sosioekonomi, dan persekitaran.
“Bermula tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak.
“Program ini merupakan inisiatif KPWKM untuk menangani dan mencegah kejadian penderaan serta pengabaian kanak-kanak, yang jika tidak ditangani boleh membawa kepada kematian,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator, Micheal Mujah Lihan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menambah bahawa program ini juga berperanan menggerakkan seluruh masyarakat untuk bersama-sama melindungi kanak-kanak serta membina persekitaran yang selamat bagi mereka.
Program itu menyasarkan pelbagai golongan, termasuk kanak-kanak, ibu bapa, guru, dan komuniti setempat, yang turut dilibatkan dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.-Berita RTM