Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang gagal melunaskan hutang daripada agensi itu. 

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dengan mengambil tindakan tegas menerusi program berterusan, kadar bayaran balik pinjaman sama ada untuk tujuan pendidikan, perniagaan dan sewa premis kini kian menunjukkan peningkatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa anggaran atau jumlah peningkatan pembayaran balik pinjaman berkenaan.

“MARA sentiasa ada program berterusan. (Menerusi program ini) saya nampak ada peningkatan (kadar balik pinjaman tertunggak)terutamanya apabila tindakan tegas diambil.

“Ini menunjukkan pendekatan yang lebih tegas perlu diteruskan demi memastikan dana MARA digunakan dengan telus dan berkesan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UPTM, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh.

Sebelum ini BH melaporkan, seramai 42,000 peminjam MARA dikenal pasti sebagai peminjam liat dengan tidak melakukan sebarang pembayaran dalam tempoh lima tahun. 

Peminjam berkenaan terdiri daripada tiga kategori iaitu pinjaman pendidikan, perniagaan dan sewa premis.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata MARA sentiasa melaksanakan program pemulihan bagi memberi peluang kepada peminjam untuk berbincang dan menyelesaikan tunggakan secara berhemah.

“MARA tidak terus menghukum. Program ini membolehkan peminjam menstruktur semula pembayaran mereka. Namun, bagi mereka yang terus mengelak, tindakan tegas seperti senarai hitam akan dilaksanakan.

“Selain pembiayaan pendidikan, MARA juga menyediakan pembiayaan perniagaan. Jadi, tanggungjawab peminjam untuk melunaskan hutang adalah penting untuk memastikan dana yang diperuntukkan dapat digunakan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menekankan bahawa pelajar yang meminjam daripada MARA perlu bertanggungjawab terhadap pembiayaan yang diberikan.

“Sebagaimana kita bantu mereka pada peringkat awal, mereka merayu dan mengharapkan bantuan. Begitu juga kita harapkan supaya mereka ingat bahawa apabila mereka berjaya dan memperoleh pekerjaan kelak, mereka mula untuk menjadualkan (pembayaran balik pinjaman) seperti yang sudah ada.

“Ini penting supaya wang bayaran balik pinjaman itu dapat dimanfaatkan pula oleh pelajar-pelajar lain yang memerlukan pinjaman,” katanya.-BH Online