PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjaya mencapai lima fokus utama ditetapkan bagi tahun ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Lima fokus itu adalah membabitkan penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.
Zambry berkata, KPT sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan dan kritikan kendiri dengan melihat pelbagai aspek lain yang perlu diperkemaskan.
“Dunia pendidikan bergerak pantas dan sangat dinamik sekali gus perlu diberi perhatian utama,” katanya pada sidang akhbar pembentangan kad laporan pencapaian KPT 2024 di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Mustapha Sakmud.
Katanya, KPT juga sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 bagi menyediakan kerangka baharu mengenai hala tuju pelajar universiti yang akan menamatkan pengajian di universiti dan politeknik.
Katanya, pelan itu dirangka berikutan pelan sedia ada akan berakhir hujung tahun depan.
Justeru, satu jawatankuasa khas terdiri daripada pelbagai pakar tempatan akan memperincikan pelan itu dalam usaha menentukan hala tuju pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.
“KPT perlu menyediakan sistem pendidikan terbaik untuk 10 tahun akan datang untuk generasi masa depan,” katanya.
Katanya, pelan yang sedang dirangka ini adalah agenda terbesar KPT kerana membabitkan dasar masa depan pendidikan tinggi negara.
Tak ambil pakar luar
Zambry berkata, KPT tidak lagi mengambil pakar luar negara untuk merangka sistem pendidikan negara, sebaliknya menggunakan tenaga pakar dalam negara yang sama hebat dengan pakar daripada luar negara.
“Ini adalah perubahan besar dalam sistem pendidikan tinggi negara kerana kita lebih tahu apa keperluan negara di samping boleh mendengar apa yang dilaksanakan di luar negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan KPT bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan universiti ASEAN, bersempena negara ini menjadi tuan rumah persidangan ASEAN, tahun depan.
“Sempena persidangan berkenaan, kita akan cadangkan dan berharap idea diketengahkan itu nanti akan diterima oleh negara anggota ASEAN,” katanya.-BH Online