Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Selangor akan menyumbang RM500,000 kepada Kelantan sebagai bantuan sokongan selepas berdepan banjir besar, hujung bulan lalu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia akan dicadang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Bantuan sokongan ini bagi membolehkan proses membaik pulih infrastruktur dan kemudahan lain.

“Kita ada Tabung Selangor Prihatin yang akan disalur kepada mana-mana tempat ditimpa bencana selain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan MADANI: Bantuan Pasca Banjir Selangor Kelantan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Terdahulu, Selangor menggerakkan Skuad Ihsan MADANI merangkumi anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan ke Kelantan bagi operasi pasca banjir.

Amirudin berkata, pasukan membabitkan 130 anggota bersama 45 jentera antaranya lori tangki dan lori ‘Roll On Roll Off’ (Roro) untuk melaksana kerja pembersihan bermula esok sehingga Khamis ini.

Katanya, skuad yang turut disertai KDEB Waste Management (KDEBWM) menumpukan pembersihan infrastruktur awam yang terkesan selain rumah penduduk terjejas.

“Misi ini adalah manifestasi dan keprihatinan negeri tanpa mengira penduduk dan lokasi. Pasukan akan bantu kerja pembersihan di kawasan kritikal dan kita utamakan kemudahan awam seperti masjid, surau atas nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Selain bantuan tenaga, kita turut menyediakan bakul makanan dan bahan pencuci untuk disalur kepada mangsa daripada Yayasan MBI.

“Kos untuk misi ini dianggar mencecah RM400,000 yang disumbang pelbagai pihak antaranya KDEBWM dan PBT,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir, berkata pihaknya bersedia menghantar lebih banyak aset dan tenaga kerja jika diperlukan. 

“Bagi misi ini, kita menghantar 21 kakitangan serta lima lori Roro bagi memudahkan misi pembersihan di Kelantan,” katanya.-BH Online