KUALA LUMPUR: Keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos dan bantuan kewangan haji bagi musim 1446H/2025M disifatkan satu langkah wajar khususnya bagi meringankan beban jemaah tanah air yang terpilih.
Dalam satu kenyataan di sini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pengurusan tertinggi TH dengan keputusan yang diambil itu.
“Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepada TH kerana dapat mengekalkan kos haji dan meneruskan bantuan kewangan haji.
“Saya harap bakal jemaah haji yang mendapat tawaran menunaikan ibadat itu membuat persediaan sebaiknya,” katanya.
Dalam satu sidang media khas di sini, pagi tadi, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, mengumumkan kos haji bagi musim 1446H/2025M masih kekal pada kadar RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
TH turut meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) kepada jemaah muassasah dalam kategori B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu.
Bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 dan M40, bagaimanapun naik 20 peratus susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024.
Bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada 2024.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan T20 yang kali pertama kekal RM33,300 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.
Bantuan pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.-BH Online