SUNGAI PETANI: Pemimpin sayap UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus diberi peluang lebih luas untuk menjadi calon mewakili parti pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri ini, selain mereka di akar umbi, antara yang banyak memainkan peranan membantu parti terutama di kala parti menghadapi waktu yang sukar.
“Ketika kita susah yang di bawah inilah yang membantu UMNO dan BN. Ketika kita disepak dan diterajang, yang akar umbi inilah yang tetap taat setia dengan UMNO dan BN…yang paling buat kerja ialah wanita-wanita BN, yang kurang mendapat kerusi juga ialah wanita-wanita.
“Saya ingin ingatkan kepada Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung UMNO, pada pilihan raya akan datang, sama ada PRU (Pilihan Raya Umum) atau PRN (Pilihan Raya Negeri) tolong beri muka kepada Wanita, tolong beri muka kepada Pemuda, tolong beri muka kepada Puteri.
“Zaman kita telah berlalu, ini zaman generasi muda hari ini. Kita pernah muda, kita menjadi calon ketika itu, waktu itu kita masih muda,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Kedah, di Bedong dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menyelar mereka yang sanggup meninggalkan perjuangan parti demi kepentingan peribadi, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengingatkan bahawa parti itu lebih mengutamakan ahli yang taat dan setia kepada parti.
Beliau turut mengulangi penegasannya supaya keserasian baik antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu terus dijaga, dengan antara lain tidak mengambil ahli parti lain dalam kalangan parti komponen.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN melihat Kedah sebagai ‘swing state’ dan berkeyakinan merampas semula negeri itu yang ketika ini ditadbir Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
“Kita melihat Kedah sebagai ‘swing state’ begitu juga Terengganu dan Perlis… “swing’ bermakna boleh berubah kerajaan, kita dalam keadaan ladung jam berada di bawah, tetapi ia tidak akan berada di bawah jika dikunci,” katanya.-BH Online