Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa orang ramai perlu menerima e-sukan juga adalah sebahagian daripada jenis sukan yang ada di negara ini terutama membabitkan golongan muda.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ketika ini sukan seperti Mobile Legend Bang-Bang Malaysia (MLBB), PUBG Mobile dan beberapa lagi sukan elektronik semakin berkembang dengan begitu baik ekoran beberapa faktor seperti ia mudah diakses selain hanya memerlukan gajet serta internet yang sesuai.

Tambahnya, mereka yang mewakili negara dalam bidang e-sukan juga berjaya mengharumkan nama Malaysia sehingga ada yang muncul juara dunia dalam sukan berkenaan.

“Sekarang ini, saya rasa di Malaysia dalam proses transisi untuk peminat sukan ini. Kerana ia dua kali ganda jumlah sukan yang telah diwartakan dan orang ramai kena biasakan diri bahawa bila kita cakap pasal sukan, bukan saja bola sepak ataupun badminton, ada sukan-sukan lain di mana kita ada juara dunia (pencapaian) dan sebagainya.

“Jadi transisi ini yang mereka kena biasakan. Kalau tidak, ada yang tak nak terima hakikat bahawa e-sukan sebenarnya adalah sukan, susah untuk bergerak ke depan.

“Zaman sudah berubah, kita perlu bergerak sekarang. Sebab itu kita bagi sokongan dari segi infrastruktur stadium, kerja, latihan dan intensif cukai sebab semua itu kena berjalan seiring kerana atlet yang terbabit dalam e-sukan adalah besar,” katanya.

Selain itu, Hannah menaruh harapan tinggi kepada dua wakil Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) dan Team Vamos yang sedang bertarung pada Kejohanan Dunia MLBB M6 ketika ini agar mereka mampu mendapatkan kedudukan podium bagi membanggakan rakyat Malaysia.

Kedua-dua pasukan sekarang yang berada di lower bracket wajib menang kerana kekalahan akan membuatkan wakil Malaysia itu meninggalkan terus pertandingan itu.

Team Vamos akan bertemu Team Spirit pada pukul 3.00 petang sementara SRG akan turun berjumpa Singapura, NIP Flash jam 6.00 petang. 

Untuk rekod, SRG berjaya menamatkan penantian Malaysia selama tujuh tahun untuk bergelar juara dunia pada Kejohanan Mid Season Cup (MSC) MLBB 2024 di Arab Saudi pada Julai lalu.-Harian Metro Online