Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula esok hingga Sabtu ini bagi menghadiri mesyuarat pertama Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC).

Kementerian Luar dalam kenyataan, berkata Mohamad akan mempengerusikan mesyuarat itu bersama rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud.

SMCC adalah mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama dan bertindak sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama iaitu politik, keselamatan, pertahanan, perdagangan serta pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan serta sosiobudaya.

Kedua-dua menteri juga dijadual menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) iaitu mengenai kerjasama dalam bidang pembangunan sosial dan MoU mengenai pengecualian visa untuk lawatan jangka pendek kepada pemegang pasport diplomatik dan rasmi atau khas.

Mohamad juga akan terbabit dalam perbincangan peringkat tinggi dengan menteri Arab Saudi yang lain, termasuk Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif bin Abdulaziz dan Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfig bin Fazwan Al-Rabiah untuk membincangkan perkara saling berkepentingan serta meneroka bidang kerjasama baharu, dengan penekanan khusus terhadap sektor utama seperti keselamatan, visa, umrah dan haji serta kesalinghubungan.

“Lawatan ini mempamerkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dan mengukuhkan kerjasama dengan Arab Saudi dalam pelbagai sektor untuk kepentingan kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Malaysia adalah rakan dagang terbesar Arab Saudi dalam kalangan negara anggota ASEAN dan yang ketujuh terbesar di dunia.

Pada 2023, Arab Saudi menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion).

Dari Januari hingga Ogos 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi bernilai RM30.09 bilion (AS$6.43 bilion). – BERNAMA