KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap pertandingan jawatan utama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada 14 Disember ini berlangsung secara sihat.
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menerajui badan induk itu akan dicabar bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Pengesahan Shapawi itu secara tidak langsung menyaksikan individu yang pernah mengemudi MSN selama sembilan tahun berkenaan bakal keluar daripada persaraannya sejak bersara wajib September tahun lalu.
Hannah dalam pada itu berkata, beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam pemilihan berkenaan dan menyerahkannya kepada ahli MPM sendiri untuk membuat keputusan terbaik.
“Saya tidak terbabit dalam pertandingan OCM (Majlis Olimpik Malaysia) ataupun MPM. Saya hanya boleh komen mengenai Datuk Shapawi yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang sukan.
“Selepas bersara, sebenarnya ada banyak tawaran untuk beliau berkhidmat dalam penganjuran sukan, kejohanan dan acara. Tapi saya tahu Datuk Shapawi, beliau sangat memilih (mengenai) platform mana yang beliau nak teruskan.
“Kalau ini platfrom beliau pilih, saya ucapkan selamat maju jaya tetapi pemilihan ini terpulang kepada ahli MPM. Mereka kena buat pemilihan dan keputusan sendiri.
“Cuma yang saya harapkan, pertandingan berjalan dalam persekitaran sihat kerana pembangunan atlet para sangat bergantung kepada kepimpinan MPM,” kata Hannah ketika ditemui media selepas majis Perasmian Kejohanan MyLadies Esports 2024, hari ini.
Semalam, BH Sukan melaporkan Shapawi mengesahkan akan bertanding merebut jawatan ‘kerusi panas’ Presiden MPM yang disandang Megat sejak 2019 selepas namanya dicadangkan ahli gabungan MPM iaitu Persatuan Badminton Malaysia.-BH Online