ALOR SETAR: Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyalurkan peruntukan segera bagi membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata langkah itu diharap dapat membantu sekolah terbabit beroperasi semula dengan lebih cepat.
“Hari ini kita turun tinjau sekolah terjejas untuk dapatkan maklum balas apa kita yang boleh tolong.
“MOF akan bekerjasama dengan KPM salurkan sedikit peruntukan untuk membaiki semula sekolah dan dapat kembali beroperasi lebih cepat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Skuad Ihsan MADANI melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lengkuas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, MOF menghantar seramai 120 ahli pasukan Skuad Ihsan MADANI bagi membantu penduduk yang terkesan dengan musibah banjir di sekitar daerah ini termasuk sekolah.
Katanya, skuad itu terdiri daripada tenaga kerja dari MOF, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CIMB Bank dan GLC (badan bukan kerajaan) Demi Rakyat dan Negara (GDRN) yang melaksanakan kerja pembersihan di SK Lengkuas, SK Suka Menanti, SK Seri Amar Diraja dan Klinik Desa Sungai Baru.
“Program ini adalah inisiatif MOF sebagai tanda kebersamaan kementerian dengan komuniti yang diuji dengan musibah.
“Selain itu, ia juga bertujuan menyemarak semangat tolong-menolong antara agensi kerajaan, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut menyinsing lengan membantu mangsa terjejas banjir.
“Tujuan program ini adalah bagi membolehkan bantuan disampaikan dengan segera terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan bahawa mereka yang terkesan dengan musibah seperti banjir ini diberikan bantuan dengan segera tanpa banyak birokrasi supaya mereka boleh segera kembali kepada kehidupan harian mereka.
“Selain itu, kita juga ingin mengukuhkan semangat sebagai satu bangsa yang sentiasa prihatin dan tolong-menolong dengan mereka yang dalam kesusahan, ibarat pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.
Selepas tinjauan di sekolah berkenaan, Amir Hamzah turut mengambil kesempatan meninjau kerja-kerja pemulihan banjir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim serta melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.
Amir Hamzah berkata, MOF juga menyampaikan sumbangan penggantian permaidani bagi Masjid Suka Menanti dan Masjid Kariah Derang manakala sebanyak 1,300 bantuan bakul makanan turut diberikan kepada mangsa banjir di PPS SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.
“Bantuan lain termasuk keperluan pembersihan diri, tilam, tikar, penggantian peralatan rosak di masjid, jet air, but kalis air, sarung tangan dan topeng muka untuk kegunaan semasa kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,sebanyak RM600 juta peruntukan disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani banjir termasuk lebih RM300 juta yang disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Beliau berkata, sebanyak RM20 juta geran padanan pula disediakan segera kepada yayasan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC untuk memperhebat respon dan penyaluran bantuan kepada mangsa.-BH Online