Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat sahih, tepat dan menyeluruh berkaitan hal ehwal agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, kerjasama diberikan media membolehkan masyarakat cakna akan peranan, perkembangan dan juga sumbangan agensi serta jabatan agama bawah pentadbiran jabatannya.

“Kita bukan hendak tunjuk baik dengan memberitahu apa yang sedang dilakukan (oleh agensi agama) tetapi dalam konteks ini, agensi seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tidak boleh bergerak sendiri.

“Perlu ada media yang boleh membantu menyampaikan apa sedang YaPEIM lakukan dan usaha agensi itu untuk membantu masyarakat,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Amal YaPEIM Bersama Media 2024, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed, dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Pada majlis itu, YaPEIM turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada beberapa kelab media dan persatuan karyawan.

Ia membabitkan Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor, Kelab Media Putrajaya, Persatuan Wartawan Jenayah, Persatuan Penulis Sukan-Sukan Malaysia dan Persatuan Karyawan Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menzahirkan keprihatinan terhadap pengamal media yang memerlukan bantuan, justeru sumbangan disampaikan kepada mereka melalui persatuan atau kelab media terbabit.

“Setiap persatuan ini akan mengenal pasti 50 ahli mereka yang memerlukan bantuan, dengan masing-masing menerima RM1,000 seorang,” katanya.-BH Online