Tumpat: Tahap kesiapsiagaan bagi berdepan gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dalam masa terdekat perlu dikekalkan sebagaimana ketika berdepan gelombang pertama baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sudah mengarahkan tahap kesiapsiagaan itu kepada seluruh pasukan di bawah KDN.
“Jabatan Meteorologi menjangkakan gelombang kedua banjir bakal berlaku bermula 8 sehingga 14 Disember dan tentunya seluruh persiapan kita akan kekal bagi berdepan sebarang kebarangkalian.
“Permintaan saya tahap kesiapsiagaan perlu dikekalkan dan saya harap prestasi sama dapat digerakkan nanti.
“Ketika tiga hari kemuncak banjir baru-baru ini bermula Khamis hingga Sabtu, pasukan penyelamat berjaya memindahkan ratusan ribu mangsa banjir hasil daripada persiapan awal yang dilakukan.
“Maka, strategi sama akan diatur gerak sekiranya berlaku gelombang kedua banjir dalam masa terdekat kerana faktor keselamatan penduduk diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, pihaknya akan menggunakan seluruh aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi tumpuan kepada operasi pembersihan membabitkan premis KDN yang terjejas banjir.
“Untuk di Kedah kita sudah gerakkan skuad sukarelawan Insan Madani berkenaan namun di Kelantan kita belum bermula dan dijangka dilakukan selepas gelombang kedua,” katanya.-MyMetro Online