Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DURIAN TUNGGAL: Kerajaan sedang menilai jumlah kerugian membabitkan kemusnahan hasil pertanian, harta benda dan infrastruktur akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama beberapa agensi berkaitan sedang melakukan pemantauan di semua lokasi banjir ketika ini.

“Kita tak ada data lagi setakat ini. Namun pihak NADMA sedang menilai kerugian itu dengan kerjasama agensi yang berkaitan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

“Kita akan umumkan (jumlah kerugian kerana) kita tidak dapat menganggarkan lagi,” katanya selepas merasmikan JELITA@KPT Summit 2024 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Ahmad Zahid berkata sebanyak tiga pusat pendidikan yang menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kelantan turut terjejas akibat bencana itu.

Katanya, pusat pendidikan berkenaan adalah Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas, Giat MARA Pasir Mas dan Giat MARA Tumpat.

“Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tumpat dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir. Kita segera perbaiki kerosakan di pusat pendidikan berkenaan,” katanya.-BH Online