KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber bekalan elektrik bagi menyokong operasi pusat data di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, langkah itu bagaimanapun memerlukan penelitian dan kerjasama pihak antarabangsa bagi memastikan penggunaan tenaga berkenaan memenuhi piawaian keselamatan serta keperluan teknologi bersesuaian.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata sebarang pelaksanaan perlu mematuhi standard ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Ini termasuk aspek kawal selia, keselamatan, kepakaran tenaga kerja dan keupayaan teknologi negara. Kita perlu teliti dahulu dengan pihak antarabangsa (yang mahir). Baru kita boleh meletakkan nuklear sebagai salah satu sumber tenaga kita.
“Dengan syarat, kita perlu mematuhi standard ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dari segi peraturan, keselamatan, keupayaan manusia dan teknologi sesuai dengan negara kita,” katanya menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pelan kontingensi kerajaan untuk memastikan operasi pusat data tidak mengganggu keperluan penggunaan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan.
Ia termasuk syarat penggunaan pada waktu krisis, larangan pembinaan di kawasan tertentu, kewajipan menggunakan air terawat semula dan mekanisme keutamaan.
Fadillah berkata, kerajaan turut menggalakkan kerjasama secara perniagaan dengan perniagaan (B2B) antara pembekal tenaga dan pengendali pusat data yang berminat meneroka penggunaan tenaga nuklear.
Beliau menegaskan, sebarang perancangan berkaitan penggunaan tenaga nuklear memerlukan persediaan menyeluruh bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga serta keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Sama ada akan kita beralih kepada penggunaan nuklear, itu memang dalam pertimbangan kerajaan. Kita menggalakkan kalau ada pembekal tenaga kepada pusat data yang hendak mempertimbangkan B2B, kerajaan akan membantu,” katanya.
Mengambil contoh kerjasama di Indonesia, beliau menjelaskan, urusan syarikat perlombongan negara itu dengan syarikat tenaga nuklear Russia, Rosatom State Corporation dilaksanakan secara B2B, bukannya menerusi kontrak kerajaan.
“Apa yang berlaku di Indonesia sebenarnya bukan membabitkan kontrak kerajaan, tetapi hanya membabitkan operasi perlombongan yang menggunakan tenaga besar.
“Mereka buat kerjasama B2B antara syarikat perlombongan di Indonesia dengan syarikat tenaga nuklear Rusia, Rosatom State Corporation,” katanya.
Mengulas kesan pengoperasian pusat data kepada persekitaran, Fadillah berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Katanya, kementerian berkenaan juga akan membuat penilaian kerana operasi pusat perlu memenuhi kriteria IAEA dan sebagainya.
“Saya kira perkara ini sudah dilaksanakan, baru dapat dibina sesuatu pusat data,” katanya. -BH Online
