Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dijangka meningkatkan perdagangan dan pelaburan kepada kedua-dua negara.

CPTPP yang akan berkuat kuasa untuk UK pada 15 Disember ini, adalah perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama antara UK dan Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata UK kekal sebagai rakan dagangan strategik Malaysia, dengan jumlah perdagangan mencecah RM14 bilion (AS$3 bilion) dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, dengan kedua-dua negara berada dalam CPTPP, saya yakin angka ini akan meningkat melalui peningkatan eksport Malaysia.

“Selain itu, pengeksport UK juga boleh memanfaatkan 16 FTA yang telah diratifikasi oleh Malaysia, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan banyak lagi,” katanya pada majlis pelancaran detik kemasukan UK dalam CPTPP di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British, David Wallace; Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Dewan Perdagangan British-Malaysia, Datuk Omar Siddiq; dan Ketua Perunding CPTPP bagi Malaysia, Sumathi Balakrishnan.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan CPTPP akan menghapuskan 94 peratus tarif antara UK dan Malaysia sepanjang tempoh perjanjian itu.

Katanya, CPTPP bakal membolehkan syarikat tempatan meraih manfaat daripada eksport bebas cukai, yang akan memacusektor yang telah kukuh seperti elektrik dan elektronik (E&E), serta mesin dan alat ganti, selain membuka peluang baru untuk komoditi seperti minyak sawit, getah dan kayu-kayan di pasaran UK.

“Dengan FTA dua hala pertama Malaysia-UK, pengeksport Malaysia kini memiliki akses lebih baik ke pasaran UK yang ekonominya mencecah AS$4 trilion (RM17.83 trilion) tahun lalu.

“Keanggotaan Malaysia dalam CPTPP telah meningkatkan daya saing kita, selain menyediakan integrasi yang lebih baik untuk pengeksport kita dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Mengulangi manfaat CPTPP, Wallace berkata, penyertaan UK dalam CPTPP menandakan pencapaian penting dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Dengan ketiadaan tarif dan penyelarasan proses perdagangan, kita bakal memacu pertumbuhan dan masa depan yang lebih makmur untuk kedua-dua negara.

“Inilah masanya untuk perniagaan bersedia memanfaatkan perjanjian ini,” tambah Wallace.-BH Online