Shah Alam: Kerajaan menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) lebih RM127 juta kepada 318,642 pekebun kecil bagi November dan Disember tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu meliputi pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda); Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Ia dibayar dua kali dengan keseluruhan RM400 seorang (RM200 sebulan) pada November dan Disember bagi membantu pekebun kecil yang terjejas banjir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai serbaneka RisSMart24 serta melancarkan Syiling Peringatan Jubli Emas Risda di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi kawasan lain, pihaknya akan mendapatkan perangkaan daripada Risda daerah yang seterusnya dikemukakan kepada negeri bagi tujuan pembayaran oleh Ibu Pejabat Risda.
Mengulas mengenai banjir, Ahmad Zahid berkata kemungkinan 20 hingga 25 peratus mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) akan pulang ke rumah masing-masing pada hujung minggu ini.
“Namun keadaan meredakan di Kelantan dan Terengganu ini membawa laluan air (banjir) ke Pahang dan Johor.
“Jadi saya mohon penduduk di kawasan rendah di Johor dan Pahang bersiap siaga dan amaran diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) harus dipatuhi.
“Jangan berpindah pada saat akhir apabila air meningkat dengan mendadak,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan, koordinasi sudah diaturkan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk melakukan tinjauan segera bagi mengenalpasti jalan yang terputus dan memerlukan pembinaan Jambatan Bailey.
“Setakat ini kita dapat maklumat , enam lokasi dikenal pasti dan mungkin banyak lagi lokasi jambatan runtuh atau terputus, maka pemasangan jambatan bailey ini sangat penting,” katanya. -Harian Metro Online