Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menggerakkan jenteranya untuk membantu pada proses pascabanjir bagi negeri yang terkesan musibah itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata, pihaknya sedang berhubung dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan bagi mengatur pergerakan bantuan serta sukarelawan dan sedang memuktamadkan perkara berkenaan pada peringkat pentadbiran kerajaan negeri. 

“Saya sudah mengadakan perbincangan awal untuk membantu proses pembersihan nanti selepas musim banjir…kita akan buat bersama terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kita lihat kesannya amat buruk,” katanya selepas merasmikan penutupan Selangor Education Summit 2024 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, hari ini. 

Amirudin berkata, tenaga dan jentera kerajaan negeri kini sedang ditumpukan bagi kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi musim banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac tahun depan.

Mengenai bantuan banjir di Selangor, beliau berkata, mangsa yang terkesan dalam kejadian di Meru, Klang sudah dikenal pasti dan bantuan kewangan RM500 daripada kerajaan negeri akan diberikan dalam masa terdekat. 

“Kita sekarang pantau keadaan (perkembangan bencana), yang penting bagi kita operasi tertentu ketika banjir dapat dijalankan terutama usaha menyelamat dan mengawal keselamatan,” katanya. 

Banjir di Meru, Klang pada 29 November lalu menyebabkan 487 individu daripada 111 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dan Balai MPKK Bukit Kapar. – BERNAMA