Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan memperkukuhkan kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal sistem komunikasi termasuk menjalankan siasatan berkaitan berita palsu di media sosial.

Ini termasuklah memberi kuasa kepada polis untuk meminta penyedia platform media sosial membekalkan data tertentu kepada pihak berkuasa termasuklah berkaitan pemilik akaun yang terbabit dengan siasatan penyebaran berita palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengakui menghadapi cabaran untuk mengenal pasti individu yang menggunakan akaun palsu di media sosial.

Justeru, penting untuk penyedia platform media sosial mengetatkan lagi garis panduan mereka, sebagai contoh mewajibkan pengguna yang mahu membuka akaun baharu untuk memberikan nombor telefon.

“Kalau kita tak ada usaha sebegini, memang sangat sukar untuk kita mengenal pasti siapa di belakang akaun palsu tersebut.

“Selain itu, di bawah pindaan Akta 588, salah satu kuasa yang kami cadangkan adalah kita nak memperkenalkan satu seksyen baharu untuk memperkukuhkan kuasa penguatkuasaan sedia ada,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai pemilik akaun palsu yang semakin berleluasa dan sukar dikesan sehingga tidak mampu dikawal.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, pindaan terhadap Akta 588 itu akan diperkukuhkan dengan mengkehendaki penyedia platform media sosial membekalkan data tertentu berdasarkan kepada siasatan kepada pihak berkuasa.

“Kita rasakan bahawa dengan seksyen tersebut jika diluluskan di Dewan Rakyat, polis berkuasa untuk meminta data tertentu daripada platform media sosial mengenai sebarang pengguna akaun media sosial tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, sejak 2022 hingga 15 November lalu, sejumlah 21,156 kandungan palsu diturunkan oleh penyedia platform media sosial berdasarkan pertimbangan dan penilaian oleh penyedia platform itu sendiri, mengikut standard komuniti yang telah ditetapkan. 

“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak 198 kes bagi elemen palsu disiasat dan daripada jumlah itu sebanyak lima kes didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan dijatuhkan hukuman,” katanya.-BH Online