Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini membentangkan Belanjawan Selangor 2025 berjumlah RM3 bilion, meningkat sebanyak RM470 juta berbanding RM253 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, Belanjawan Selangor 2025 merangkumi RM1.7 bilion atau 56.7 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion atau 43.3 peratus perbelanjaan pembangunan.

Ia mengandungi lima teras fokus kepada Kecerdasan Buatan dan Pendidikan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa serta Membugar Ekonomi Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.

Menurut Amirudin, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan adalah komponen terbesar dalam Belanjawan Selangor 2025, mencakupi 38.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

“Ini termasuk pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan membabitkan 26 jabatan serta elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Selain itu, peruntukan bagi elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan Mahkamah Rendah Syariah,” kata Menteri Besar dalam pembentangan di Dewan Undang Negeri (DUN), di sini.

Amirudin berkata, anggaran belanja pembangunan bagi 2025 akan memberi lebih tumpuan terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial, merangkumi 31.09 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Katanya, peruntukan RM404.17 juta itu akan fokus kepada kerja-kerja naik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal lebih efisien serta naik taraf infrastruktur jalan raya dan saliran.

“Sebahagiannya bagi promosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026,” katanya.

Mengenai status dana Kumpulan Wang Disatukan, beliau berkata, ia meningkat sebanyak RM751.46 juta, iaitu daripada RM3.614 bilion pada akhir 2023 kepada RM4.365 bilion.

“Kedudukan rizab semasa negeri pada 7 November lalu adalah sebanyak RM4.37 bilion. Hasil negeri juga mencapai jumlah kutipan RM2.429 bilion setakat 13 November lalu daripada anggaran hasil tahun ini sebanyak RM2.2 bilion,” katanya.

Katanya, Selangor merekodkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus, melebihi sasaran purata KDNK bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang ditetapkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), antara 6.5 hingga 7 peratus.

“Kejayaan ini menjadi asbab RS-1 akan disambung kepada RS-2 bagi tempoh 2026 hingga 2030. Antara sasaran utama ingin dicapai adalah mengekalkan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara dengan meningkatkan lagi nilai sumbangan KDNK negeri dan negara,” katanya.-BH Online