Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: `Maha kaya’ antara satu daripada 12 perkataan baharu yang seringkali digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dimasukkan pada kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengesahkannya berharap orang ramai dapat menerima bahawa perbendaharaan Bahasa Melayu terus hidup dan sedang berkembang.

“Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik. 

“Contohnya, dahulu digunakan tetuang udara namun kini, radio. Dahulu perkataan ujana yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk taman. Ujana ilmu yang bermaksud taman ilmu, ujana buku yang bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.

“Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita. 

“Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard. Proses penyerapan sesuatu bahasa ke dalam bahasa lain berlaku dalam semua bahasa di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat hari ini. 

Fadhlina berkata ketimbang adalah perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud kata untuk menandai perbandingan.

Katanya, kata ketimbang sama erti atau bersinonim dengan kata daripada.

Bagi perkataan peluncuran pula, beliau berkata ia mempunyai maksud yang sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian. 

Dalam konteks ini, jelasnya perkataan peluncuran mengalami peluasan makna. 

“Sama halnya dengan perkataan pelancaran. Dahulunya, kata pelancaran tidak digunakan untuk merujuk kepada hal atau perbuatan melancarkan produk atau program.

“Kedua-dua perkataan ini ditemukan penggunaannya dalam bahasa Melayu berdasarkan carian daripada pangkalan data korpus bahasa Melayu yang dibangunkan oleh DBP, cuma belum terakam dalam kamus terbitan DBP. 

“Kata ini akan dimasukkan dalam edisi kedua Kamus Dewan Perdana (2020). Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat,” katanya.-BH Online