BETONG: Tanaman halia berpotensi untuk dijadikan produk yang boleh dimanfaatkan sebagai penjana pendapatan yang tinggi kepada penduduk di luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tanaman itu, diperlukan untuk pembuatan produk kosmetik dan farmaseutikal di luar negara.
Beliau mendedahkan hasil rundingan dengan sebuah syarikat multinasional, 10 kontena halia perlu dibekalkan setiap bulan.
“Sebanyak 10 kontena sebulan, tetapi kita tidak ada kemampuan dari segi pengeluaran.
“Mungkin setakat ini satu dua kontena sahaja, tetapi itu tidak mencukupi. Mereka memerlukan satu jumlah yang banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi, Samu Ulu Paku, Spaoh di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapannya, melontarkan cabaran kepada penduduk Betong untuk menghasilkan 10 kontena halia sebulan, untuk dieksport ke luar negara.
Kementerian beliau sudah merancang untuk melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di Betong, yang produknya ialah penanaman halia dan penternakan ayam kampung sebagai fokus komponen pembangunan ekonomi di situ.
Ahmad Zahid berkata, halia mendapat permintaan tinggi dari China, Eropah dan juga Amerika Syarikat bagi penghasilan ramuan pembuatan produk kosmetik dan farmaseutikal.
Prospek Betong yang akan menjadi projek yang pertama melibatkan rumah panjang dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang, akan dilaksana pada tahun depan dengan tempoh pembangunan projek sehingga 2029. – BERNAMA