Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira pangkat dan jawatan ataupun sama ada membabitkan syarikat kerajaan mahupun swasta.

“Sekarang heboh isu Perlembagaan NAFAS (digantung). Walaupun ia badan yang bebas, tetapi ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Baru-baru ini juga ada kes Khazanah Nasional Bhd, yang mana pengerusinya adalah Perdana Menteri.

“Tapi, saya tidak akan halang siasatan kalau ada laporan. Kalau salah, siasat, kalau salah, dakwa, kalau salah, hukum,” katanya berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.-BH Online