Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin dan rakyat sama-sama berganding bahu membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.

Perdana Menteri berkata, jika terdapat sebarang kelemahan atau kekurangan dalam pentadbiran kerajaan, rakyat perlu memberitahu kepada menteri dan pemimpin supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan.

Sempena sambutan Deepavali hari ini, beliau berharap ia memberi ruang kepada rakyat pelbagai kaum menyemarakkan semangat perjuangan.

“Kita tahu semangat Deepavali ini menyemarakkan cahaya menggantikan kegelapan.

“Kita tahu sambutan ini tujuannya untuk nyatakan hidup ini lebih daripada sekadar makan minum, kesejahteraan bersama tapi untuk teruskan perjuangan ke arah kebaikan, keadilan dan masa depan yang lebih baik.

“Semoga semangat Deepavali memberi ruang kepada kita untuk membawa Malaysia ke arah cahaya yang lebih gemerlapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan rakyat yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, serta menteri-menteri dan timbalan menteri.-BH Online