Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA NERUS, 30 Oktober- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) belum memperoleh jumlah sebenar bilangan anggota penjawat awam yang telah pun menandatangani borang persetujuan untuk beralih ke Sistem Saraan Perkhidmatan Awam-SSPA sejak dimulakan minggu lalu.

Ketika ini seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sedang giat melaksanakan perkara tersebut dan jumlah awal dijangka diketahui pada pertengahan November ini.

Namun begitu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, yakin ianya akan berjaya, kerana SSPA adalah sistem saraan terbaik pernah diwujudkan di negara ini.

“Saya pasti dan yakin penjawat awam akan mengambil SSPA, cuma pada waktu ini belum ada jumlah sebenar,” katanya.
 
Selain itu beliau turut ditanya pihak media mengenai pemindahan pos penempatan pegawai kerajaan persekutuan yang berkhidmat melebihi lapan tahun.
 
“Kita sudah ada pekeliling berkaitan pusingan kerja di mana dalam pekeliling tersebut dinyatakan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berada di sesebuah organisasi itu melebihi lapan tahun, maknanya kalau sudah lapan tahun dia sepatutnya bertukar ke jabatan lain.

“Kemudian dalam pekeliling itu juga menyebutkan bagi penempatan yang sensitif tidak boleh melebihi tiga tahun. Contoh penempatan sensitif ialah di bahagian perolehan, kewangan, pembangunan yang agak terdedah dengan perlakuan-perlakuan yang melibatkan integriti,” katanya.
 
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata demikian selepas majlis bersama Pegawai Awam Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu-UMT di Kuala Nerus.
 
Terdahulu pada majlis tersebut, beliau turut menjawab beberapa persoalan dikemukakan para hadirin pada Sesi Bicara Aspirasi yang dikendalikan Sayed Munawar Sayed Mustar, sebelum menyempurnakan gimik peluncuran Logo H.E.M.A.T. serta sesi Penyampaian Sijil Pelajar Cemerlang dan Penerima Dermasiswa B40.-Berita Harian Online