Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggubal akta baharu berkaitan pekerja sektor gig dengan pembentangan rang undang-undang (RUU) berkenaan dijangka dibuat akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu jelas membuktikan keseriusan kerajaan membela 1.16 juta pekerja sektor berkenaan di seluruh negara.

Berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia MADANI, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara terawal menggubal perundangan khusus membabitkan pekerja sektor itu.

“Malaysia adalah antara lima negara yang menubuhkan suruhanjaya ekonomi gig di seluruh dunia dan menjadi terawal akan membentangkan akta (berkaitan) pekerja gig.

“Akta ini akan memberi perlindungan sosial kepada pekerja gig dan kita memerlukan sokongan bukan hanya sekretariat (ekonomi gig) tetapi keseluruhan 1.16 pekerja sektor ini.

“Ini (penggubalan akta berkaitan pekerja gig) bukan soal politik, kita buta warna (dalam membela nasib rakyat). Tidak kiralah apa warna (sokongan politik) sekali pun yang penting adalah kepedulian terhadap rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi GiG Malaysia, Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Haswandi Ahmad.

Sementara itu, Ahmad Zahid pada sidang media, berkata akta berkenaan akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas RUU Perbekalan 2025 selesai dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Memperincikan RUU berkaitan pekerja gig itu, katanya, banyak elemen akan diketengahkan, antaranya aspek keselamatan pekerja gig dan perlindungan yang bukan terhad kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi turut membabitkan PERKESO.

Beliau berkata, bentuk perlindungan akan diperuntukkan kepada pekerja sektor gig akan meliputi tempoh 24 jam sehari, seperti dimohon golongan berkenaan.

“Inilah permintaan daripada pekerja gig kerana 70 peratus daripada mereka terdiri dalam kategori umur antara 19 hingga 34 tahun dan suatu ketika nanti mereka capai umur lebih tinggi serta memerlukan rawatan.

“Kalau tiada liputan rawatan, ini mendukacitakan jadi ia dicadangkan sekretariat. Harus menuju ke arah sama (seperti) pekerja tetap. 

“Saya mencadangkan supaya kos rawatan juga dimasukkan walaupun kita tahu ini akan memberikan implikasi kewangan agak berat.

“Namun, kita harus peduli (terhadap pekerja sektor gig) dan kita akan bincangkannya secara terperinci bersama KESUMA dan Kementerian Kewangan dan sekretariat ekonomi gig yang akan memberi input,” katanya.

Ditanya perbezaan dengan Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ahmad Zahid berkata, akta sedia ada tidak secara khusus menyentuh perkembangan terkini membabitkan sektor ekonomi gig, menyebabkan penting untuk mewujudkan perundangan baharu yang berkaitan.

“(Ada) terlalu banyak akta kerja (tetapi) Kabinet memutuskan harus ada satu (perundangan) khusus (seperti) akta ini agar penggunaannya tidak akan mengetepikan akta sedia ada.

“Justeru, penting untuk akta berkaitan pekerja gig ini diwujudkan walaupun (akta) sedia ada meliputi pelbagai bidang,” katanya.-BH Online