BAGAN DATUK: Enam kereta elektrik dari China akan diagihkan kepada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia untuk dijadikan bahan pembelajaran amali pelajar institusi terbabit.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kereta berkenaan hadiah daripada Beifang Automotive Education Group kepada Malaysia.
“Kami merancang untuk mengagihkan masing-masing satu kenderaan elektrik (EV) ini kepada Automotive Center Institusi Kemahiran Tinggi Perda di Pulau Pinang dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Sarawak.
“Empat lagi kita akan agihkan kepada institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk GiatMARA, IKM (Institut Kemahiran MARA) dan beberapa yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata inisiatif berkenaan bertujuan membolehkan pelajar mendapat pendedahan teknologi baharu kenderaan elektrik yang semakin mendapat tempat dalam industri automotif, selain pendidikan berkaitan kenderaan konvensional.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata lebih 100 tenaga pengajar di negara ini telah dihantar ke China untuk mengikuti kursus automotif terbabit.
“Tempoh bagi semua tenaga pengajar menghadiri kursus berhubung automotif itu adalah antara tiga hingga enam bulan sahaja kerana ia bidang yang telah pun dipelajari mereka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata menerusi penambahan peruntukan TVET pada Belanjawan 2025 baru-baru ini, pihaknya akan berbincang dengan Beifang untuk menambah jumlah pelajar daripada pelbagai kaum di negara ini, mengikuti latihan di institusi itu.
Kerjasama dengan Beifang International Education setakat ini menyaksikan lebih 2,000 pelajar dihantar ke China, katanya.-BH Online