PADANG RENGAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pimpinan di peringkat desa supaya tidak tiris dalam menguruskan dana besar diberikan kerajaan menerusi Sejati MADANI.
Beliau berkata, melalui inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 itu, setiap kampung di seluruh negara akan menerima peruntukan bernilai antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi melakukan apa-apa program demi manfaat ekonomi penduduk setempat.
“Sejati MADANI ini kita (kerajaan) seolah bagi satu tanggungjawab dan cabaran langsung kepada orang kampung.
“Imam, ketua kampung, penghulu, persatuan belia, wanita, jawatankuasa masjid, kome (kalian) runding betul-betul, teman (saya) bagi dana wang, kome putuskan apa yang nak dibuat bagi kepentingan orang kampung.
“Ada yang beli traktor, ada beli bot, ada beli dron untuk pertanian, tapi keputusan itu bukan keputusan seorang. Keputusan wakil masyarakat kampung yang boleh hidupkan ekonomi,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan Isnin, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Dalam pembentang Belanjawan 2025 lalu, Anwar mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI atau singkatannya, Sejati MADANI.
Ikhtiar itu bakal diperhebat dengan jalinan kerjasama yang lebih meluas membabitkan pengurusan tertinggi jabatan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI.
Justeru itu, Anwar mengarahkan pegawai daerah serta pegawai dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri supaya memantau secara rapat pengurusan dana terbabit.
“Kita kena susun baik-baik kerana membabitkan jumlah besar, kalau RM50,000 atau RM100,000 itu untuk satu kampung, berapa bilion kita kena belanja?
“Tapi tak mengapa kita belanja, kita puas hati sebab tak bocor.
“Ini (projek besar) kadang belanja betul, kadang belanja tiris, kadang belanja bocor, kadang belanja sakau. Macam-macam berlaku,” pesan Perdana Menteri.
Sementara itu, menerusi X Anwar berkata, beliau memulakan pagi Ahad dengan mengadakan lawatan kerja ke Perak.
“Usai tiba, saya dan Menteri Besar Perak langsung ke Pendusunan Ulu Kongsor di Padang Rengas untuk meninjau sendiri projek pembinaan jalan dusun di sini,” katanya.
Ulu Kongsor adalah kawasan agropelancongan seluas 800 ekar meliputi 13 kawasan tapak perkhemahan, kawasan rekreasi dan dusun-dusun durian, getah serta kelapa sawit yang diusahakan sendiri oleh penduduk kampung.
Anwar berkata, beliau terpesona melihat keindahan kawasan Pendusunan Ulu Kongsor yang cukup indah dan nyaman dengan kawasan ladang dan dusun yang menghijau serta air sungai yang jernih.
Pembinaan jalan dusun baharu sepanjang tiga kilometer bernilai RM1.3 juta ini mungkin dilihat kecil sesetengah pihak yang mengukur kemajuan dengan projek raksasa, namun hakikatnya ia cukup penting untuk penduduk kampung, terutama pemilik dusun di sini.
Insya-Allah, projek ini akan meningkatkan akses pelancong ke kawasan dusun apa ia siap pada hujung tahun ini, sekali gus melonjak pembangunan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan penduduk kampung.-BH Online