KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia meminda perundangan sedia ada berkaitan kesihatan mental bagi mengekang salah laku terutama membabitkan kes jenayah dilakukan golongan terbabit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bagaimanapun perkara berkenaan perlu diperhalusi, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
Mengakui bimbang pesakit berkaitan mental menggunakan keadaan kesihatan sebagai alasan melakukan sebarang salah laku, beliau juga mahu keadaan sedemikian segera dinoktahkan.
“Semua ini (pindaan sebarang perundangan sedia ada) memerlukan penelitian lebih cermat dan kita pastinya akan memuat perbincangan dalam mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita juga akan merujuk kepada penasihat perundangan kementerian. Masih terlalu awal untuk membincangkan perihal pindaan sebarang perundangan berkaitan.
“Pastinya kes ini adalah serius dan akan melihat secara menyeluruh, termasuk keperluan pindaan perundangan atau sebagainya.
“Namun, lebih mustahak untuk memahami setiap kes terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan,” katanya pada sidang media Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis perasmian MIH Megatrends 2024 dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta KPJ Healthcare itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Zainal Alhakan Seman dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob.
Beliau mengulas kebimbangan masyarakat berhubung sesuatu jenayah membabitkan individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental mungkin menjurus kepada tiada pembelaan wajar terhadap mangsa dan keluarga, atas alasan pelaku tidak berada dalam keadaan waras.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan ‘tiket sedemikian’ untuk melakukan sesuatu jenayah.
“Saya kira ini suatu kebejatan (kerosakan), insiden sedemikian mungkin menjadi lebih kerap dan salah guna kad (berkaitan kesihatan mental) pastinya perlu diteliti,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan memperhebat kempen ‘Premis Bersih, Bebas Asap’ bagi membendung masalah keracunan makanan, terutama di kedai mamak.
“Bahagian Keselamatan diterajui Timbalan Ketua Pengarah KKM akan meneliti perkara ini. Pasukan mereka akan turun padang dan memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi mengelak daripada kes keracunan terus berulang, terutama di kedai mamak,” katanya.
Sementara itu, Dr Muhammad Radzi berkata, pesakit berkaitan mental yang melakukan jenayah tidak sewajarnya menggunakan keadaan kesihatan sebagai tiket untuk berbuat demikian.
“Kita perlu lihat kes berkenaan, jika tiada justifikasi kesihatan mental digunakan untuk membuktikan kes, jadi tidak sepatutnyalah (ia digunakan sebagai antara hujah pembelaan).
“Kesihatan mental adalah isu serius dan memiliki perundangan serta garis panduan untuk menangani kes sedemikian.
“Kesalahan tetap kesalahan, kalau kita hendak gabungkan dengan kesihatan mental, kita ada ruang lingkup perundangan untuk menangani kes berkenaan.
“Bagi mengatakan (pelaku) menggunakan kesihatan mental untuk melakukan kesalahan memang tak boleh dan tak sepatutnya berlaku,” katanya.-BH Online