Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Hasil pengeluaran padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot lima peratus dalam tempoh setahun, susulan musim kemarau dan banjir.

Menteri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bagaimanapun berkata, keadaan itu dijangka kembali pulih bermula tahun hadapan.

“Kita mengalami kekurangan lima peratus berbanding hasil padi yang direkodkan adalah 61 peratus. Proses pemulihan sedang berlaku, musim baru sudah bermula dan keadaan ini dijangka pulih bulan depan.

“Dalam keadaan hasil padi KADA dan MADA merosot, kita agak bernasib baik kerana harga import beras menurun selain ringgit kita meningkat menjadikan barang import kita dapat dipasarkan di dalam negara dengan harga yang lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Mock-Cek Tabung Bencana Tanaman Padi Serta Penyampaian Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa 1, 2024, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan penanaman padi musim kedua yang bermula bulan ini tidak terjejas dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku bulan depan.

“Banjir mungkin berlaku pada Disember dan ketika itu tanaman padi sudah besar. Kita sudah mengambil kira perkara itu dan insya-Allah tidak terjejas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Sarawak yang bakal menjadi jelapang padi ketiga selepas Kedah dan Kelantan mampu menampung bekalan beras negara pada masa akan datang sekiranya kawasan KADA dan MADA berlaku banjir atau kemarau.

Katanya, untuk di Sarawak, seluas 10,000 hektar tanaman padi sudah dimulakan dan Sarawak sendiri memperuntukkan RM500 juta untuk tujuan berkenaan.

“Sarawak menjangkakan pada 2030 mereka sudah mampu mengeksport padi,” katanya.-BH Online