PETALING JAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu merangka pelan pembangunan yang mampu mengelakkan berlakunya risiko banjir kilat terutama di kawasan bandar yang berpenduduk padat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata isu bencana alam adalah antara cabaran dihadapi PBT dan sudah tiba masanya pelan pembangunan merangkumi Bandar Pintar dan Bandar Mampan digunakan.
“Ada kaedah pengurusan (management tool) yang dibangunkan oleh Kennedy’s Business School di bawah Universiti Harvard dan saya pernah bawa mereka datang dan bentangkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Ia lebih kepada pelan pembangunan mampan bagaimana untuk merancang pembangunan di sesebuah tempat.
Kalau bangunkan di kawasan baharu, ia mudah untuk dilakukan namun bagaimana jika ia dilakukan di infrastruktur atau kawasan sedia ada, ini yang kita perlu lihat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Konvensyen PBT 2024, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata PBT tidak seharusnya memfokuskan kepada sektor mobiliti semata-mata tetapi perlu melihat kepada aliran air di sesebuah kawasan.
“Pertama PBT perlu memastikan bagaimana untuk memastikan tenaga hijau dapat digunakan supaya ia memberikan lebih penjimatan.
“Kedua daripada segi bekalan air untuk penduduk dan seterusnya bagaimana menguruskannya supaya ia dapat digunakan semula dan tidak menjejaskan aliran air di seluruh kawasan.
“Ketiga adalah aliran perjalanan pejalan kaki, kenderaan motosikal dan kenderaan berat. Ini akan menggunakan sistem pengangkutan pintar bagi memudahkan perjalanan.
“Apa yang disebut ini adalah cabaran pada masa akan datang, Kalau kita tidak menguruskan ini, ianya akan memberi tekanan kepada kehidupan rakyat kerana mereka ini perlu hadapi kesesakan jalan raya dan pelbagai masalah lain seterusnya boleh memberikan tekanan,” katanya.
Disebabkan itu Fadillah berkata, penyediaan rancangan pemajuan di peringkat negeri dan PBT tidak boleh mengetepikan keperluan penyediaan kemudahan perkhidmatan yang lengkap, inklusif serta mesra keluarga, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Lantaran itu, bagi mendepani isu dan masalah perbandaran seperti kesesakan penduduk, pencemaran alam sekitar, kebersihan dan bencana alam, pembangunan yang berteraskan kelestarian kehidupan perlu dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Fadillah berkata, pengurusan aliran air yang baik amat penting berikutan faktor perubahan iklim yang menyebabkan limpahan hujan semakin banyak sehingga mengakibatkan kejadian bencana itu.
“Disebabkan itu, aspek perancangan amat penting untuk kita dekati dalam konteks pendekatan pembangunan mampan, dengan kita dapat melihat bukan sahaja dari sudut aliran trafik bagaimana mobiliti orang berjalan kaki serta semua kenderaan tetapi juga aliran air dan keperluan tenaga pada masa akan datang.
“Ini antara cabarannya. Saya harapkan setiap PBT akan merangka pembangunan perancangan bandar dalam konteks keseluruhan ini, kalau tidak kemungkinan bandar akan berdepan banjir kalau tidak tangani aliran air dengan baik,” katanya.-BH Online